“Awak sudi jadi isteri kedua saya?” tanya Syazni tegas dan yakin.
Tiba-tiba mata Fulanah merah, air mata mula bergelinang di kelopak bawah.
“Tak sangka awak sudah beristeri! Awak jahat! Sanggup mempermainkan hati
saya. Awak ingat saya tiada maruah? Hah!” pekik Fulanah dengan suara
tersekat-sekat.
Mata Syazni liar melihat kiri kanan, mungkin ada sesiapa yang memandang
perlakuan dia dan Fulanah. Bukan takutkan pandangan manusia, tetapi
lagak Fulanah langsung tidak selari dengan penampilannya.
“Saya ingat kita lama berkawan, awak masih bujang. Tapi rupa-rupanya… ” Fulanah mula sebak.
“Tak. Maksud saya…”
“Sudah! Jangan bermulut manis lagi. Cukup!” potong Fulanah dengan kasar.
“Awak nampak macam alim, tapi sanggup menipu saya. Dan awak sanggup
melamar saya menjadi isteri kedua awak. Awak ingat saya ni siapa?” suara
Fulanah semakin tinggi, setinggi egonya.
Syazni diam seribu bahasa. Dia sudah tahu `Fulanah’ di sebalik Fulanah
yang dia kenal selama ini. Fulanah bergegas dari situ sambil mengelap
air mata dengan tudung labuhnya berwarna kuning. Dalam hatinya, Syazni
seolah-olah menghinanya apabila memujuknya untuk bermadu. Syazni muram.
Namun masih terselit kekecewaan di sudut hatinya. Kekasih hatinya belum
bersedia rupa-rupanya.
“Ada hikmah,” bisik hati kecil Syazni, sekecil pandangannya terhadap Fulanah.
Hujung minggu berjalan seperti biasa. Program-program dakwah
menyibukkan jadual Syazni sebagai seorang muslim yang beramal dengan apa
yang diyakininya. Duitnya banyak dihabiskan untuk memenuhi tuntutan
dakwah yang seringkali memerlukan pengorbanan yang tidak berbelah
bahagi. Namun, hatinya tegas dan yakin bahawa inilah jalannya. Jalan
yang membawa dia menemui Tuhannya dengan hati yang tenang serta bahagia
di hari kelak. Keyakinan serta keaktifan Syazni berdakwah sedikit
sebanyak memenangi hati gadis-gadis dalam persatuannya. Malah, Syazni
dilihat sebagai calon suami yang bakal memandu keluarganya nanti ke arah
memperjuangkan agama yang dianutinya sejak sekian lama.
Sudah terlalu ramai muslimah yang menaruh hati padanya, namun,
Fulanah terlebih dahulu rapat dan memenangi hati Syazni. Bagi Fulanah,
Syazni seperti pelengkap kepada dirinya. Namun, hanya sehingga saat
Syazni melamarnya menjadi isteri kedua. Syazni masih lagi aktif dalam
dakwah meskipun hubungannya dengan Fulanah nampak seperti tiada jalan
penyelesaian. Dia mahu berbaik dengan Fulanah, namun sikap Fulanah yang
keras dan kurang memahami erti dakwah membantutkan usaha Syazni
tersebut.
Bagi Fulanah, Syazni tak ubah seperti lelaki lain. Gerak kerja dakwah
Syazni berjalan seperti biasa. Siangnya ke hulu kehilir memenuhi
program serta amal jariah kepada masyarakat. Malamnya sibuk dengan
mesyuarat dengan sahabat-sahabat seangkatannya. Syazni semakin percaya
jalan dakwahnya, sama sekali dia tidak akan berganjak dari jalan ini
hatta datang ancaman sebesar gunung sekalipun. Dia terlalu matang, jauh
sekali daripada pemikiran pendakwah lain yang semudanya. Namun, Allah
s.w.t. Maha Mengetahui lagi Maha Pemurah. Sekali lagi Dia menghantar
seorang perempuan bagi menguji Syazni – sama ada dia menjadi pemangkin
atau perencat bagi dakwah Syazni.
Suatu petang dalam suatu program dakwah di sebuah madrasah, Syazni
dikejutkan dengan luahan ikhlas dari sahabat lamanya, Nusaibah. Syazni
sekali lagi gusar takut-takut Nusaibah tidak dapat menjadi sayap kiri
perjuangannya selepas berumah tangga nanti. Isteri pertamanya sudah
pasti membawa Syazni menemui Tuhannya, namun, Nusaibah yang kurang
dikenalinya adakah sama seperti Fulanah atau tidak? Syazni bercelaru,
tetapi tidak bermakna lamaran Nusaibah ditolak. Dia meminta sedikit masa
untuk memikirkan keputusan tersebut. Setelah merisik pemikiran Nusaibah
daripada beberapa sahabat terdekatnya, Syazni berjumpa dengan Nusaibah
bertemankan sahabat baiknya.
Dengan tegas dan yakin, sekali lagi Syazni mengulangi soalan yang pernah ditanya kepada Fulanah.
“Awak sudi jadi isteri kedua saya?” tanya Syazni tanpa segan silu.
“Sudi,” jawab Nusaibah ringkas.
“Er, betul ke ni?” tergagap Syazni menerima jawapan Nusaibah yang tenang dan yakin.
Nusaibah mengangguk kepalanya sedikit. Langsung tiada rasa takut
mahupun kecewa apabila lamaran sebagai isteri kedua yang dilafazkan oleh
Syazni.
“Kenapa saya?” tanya Syazni ingin tahu.
“Saya ingin membantu gerak kerja dakwah awak,” jawab Nusaibah yakin tetapi sedikit malu.
“Baiklah,” jawab Syazni tersenyum.
Akhirnya, Syazni dikurniakan sayap kiri yang sangat membantu dalam gerak
kerja dakwahnya selama ini. Setelah seminggu mendirikan rumah tangga
bersama Nusaibah, Syazni terasa dakwahnya semakin laju. Jadualnya
senang, pakaiannya dijaga, makannya disedia. Malah, Nusaibah sangat
membantu gerak kerja Syazni semampu mungkin. Setiap kali turun ke
lapangan untuk berdakwah, Syazni membawa Nusaibah untuk membantu kerja
dakwah seadanya. Kadang-kala letih menyinggah Nusaibah. Suaminya terlalu
kerap keluar berdakwah, seperti mesin yang tiada hayat. Namun, inilah
yang dia yakini sebelum berkahwin dengan Syazni. Membantu suami
melancarkan gerak kerja dakwah. Nusaibah juga berjaga-jaga takut dirinya
pula yang menjadi pembantut atau penghalang dakwah suaminya.
“Abang, saya nak tanya boleh?” sapa Nusaibah dalam kereta sewaktu dalam perjalanan ke sebuah program dakwah.
“Ye sayang?” jawab Syazni sambil memandu.
“Abang tak pernah pun bawa saya jumpa isteri pertama abang,” luah Nusaibah yang sangat teringin berjumpa dengan madunya.
“Dah sampai sana nanti, kita akan jumpa,” Syazni menoleh sedikit ke arah Nusaibah, sambil tersenyum.
“Yeke? Dia datang program tu rupanya,” jawab Nusaibah riang.
Hatinya berdebar ingin berjumpa madunya yang banyak membantu Syazni
dalam gerak kerja dakwah. Di sudut kecil Nusaibah, dia merendah diri
kerana usahanya membantu dakwah suaminya hanya sedikit berbanding dengan
isteri pertama Syazni yang banyak membantu selama ini. Tidak hairanlah
Syazni aktif dalam dakwah sebelum ini.
“Kita dah sampai,” Syazni membuka pintu keretanya sambil memegang beg berisi fail di tangannya.
Syazni berdiri, mengadap ke arah sebuah khemah di hadapan masjid, lalu
menoleh ke arah Nusaibah yang berdiri di sebelah kiri kereta.
“Itu isteri pertama abang,” Syazni menuding jari ke arah khemah tersebut
“Mana bang?” Nusaibah mengecilkan matanya, fokusnya mencari arah jari Syazni.
“Tak nampak pun,” Nusaibah meninggikan sedikit hadapan kakinya.
“Siapa nama isteri pertama abang?” Nusaibah sangat berdebar.
Syazni tersenyum lebar, memandang Nusaibah penuh tenang.
“PERJUANGAN, ” jawab Syazni.
***************
Sedarlah semua wahai muslimah serikandi dan perwira Islam … kalian akan dimadukan!
Jika dirimu bakal seorang isteri…
Terimalah kenyataan bahawa anda akan dimadukan, bahkan anda bukan
isteri pertama yang bakal dikahwini tetapi anda adalah bakal isteri
kedua kerana isteri pertama bagi suamimu ialah perjuangan Islam!
Perkahwinan ini telah lama dilangsungkan…
Kehadiran dirimu adalah untuk bersama berganding bahu memperjuangkan
islam bukan menjadi batu penghalang perjuangan suamimu. Janganlah
jadikan dirimu sebagai punca serta merendahkan harga dirimu dengan
terjadinya perceraian suamimu dengan isterinya yang pertama iaitu
perjuangan islam!
Jika dirimu bakal seorang suami…
Terimalah bahawa anda bukanlah suami yang pertama yang bakal
dinikahinya atau insan yang pertama yang dicintai dan disayangi oleh
bakal isterimu! Bahkan dirimu adalah insan yang kedua yang dicintainya,
kerana suami yang pertama baginya ialah perjuangan islam dan
memartabatkannya.
Dia mencintaimu kerana dirimu mencintai islam dan memperjuangkan islam.
Jika dirimu tidak sedemikian, sekelumit cinta pun tidak akan lahir dalam
sanubari isterimu…
Bantulah isterimu atau suamimu dan kuatkanlah dia untuk meneruskan perjuangan islam ke serata dunia!!Takbir ! Allahuakbar!
Tidak ada komentar:
Posting Komentar